Sabtu, 7 Julai 2012

Gerakan Mencari Drahman Masih Belum Berhasil

Gerakan mencari mangsa serangan buaya di Sungai Saribas semalam masih gagal menjejaki Drahman Chali yang disambar reptilia ganas itu ketika hendak bersarapan di tempat pengumpulan batang rumbia pada pagi Khamis lepas.

Drahman, 55, seorang pemotong rumbia dikatakan dibaham buaya ketika mahu mencuci tangan pada kira-kira jam 8 pagi.

Sebelum kejadian, mangsa bersama rakannya, Mohammad Nor Bujang, 51, sedang mengikat dan membuat rakit batang rumbia untuk dibawa ke kilang.

Bagaimanapun, tiba-tiba seekor buaya dianggarkan sepanjang empat meter melibas Drahman sebelum menariknya ke dasar sungai lalu hilang sebelum timbul seketika di permukaan dalam jarak 50 meter daripada pandangan rakannya.

Sumber ketika dihubungi semalam mengatakan gerakan mencari mangsa masih gagal menemui mangsa.

Gerakan mencari mangsa dilancarkan kelmarin oleh polis, RELA, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Bomba dan penduduk kampung.

Ini merupakan kes serangan buaya terkini selepas kisah Bujang Seblak mengorbankan seorang mangsa di Sungai Anak, Roban, baru-baru ini - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan