Rabu, 18 Julai 2012

Kebakaran Di Lowa: Penuntut M’sia Terima Pelbagai Bantuan


KUALA LUMPUR: Kedutaan Besar Malaysia di Washington serta beberapa agensi berkaitan menghulurkan pelbagai bantuan kepada penuntut Malaysia yang terjejas akibat kebakaran yang memusnahkan 56 unit South Meadow Apartment di bandar raya Ames, Iowa di Amerika Syarikat Ahad lepas.

Kementerian Luar dalam kenyataan semalam berkata antara bantuan yang disalur ialah sumbangan kewangan daripada Biro Agama, Kedutaan Besar Malaysia di Washington.

Mereka turut menerima bantuan makanan, minuman, pakaian dan logistik daripada Education Malaysia (EM) Chicago serta derma daripada Pertubuhan Malaysian Islamic Study Group.

Penuntut terlibat juga mendapat bantuan makanan dan tempat tinggal sementara daripada Red Cross Ames, kata Wisma Putra.

Selain itu, perjumpaan bersama International Student Office Iowa State University juga diadakan untuk mendapatkan bantuan yang diperlukan.

Kementerian Luar berkata seramai 17 penuntut Malaysia terjejas akibat kebakaran itu. Ketika kejadian, empat daripada mereka berada dalam kediaman di pangsapuri itu manakala 13 lagi bercuti di luar kawasan.

Kementerian Luar akan terus memantau keadaan penuntut berkenaan berikutan kebakaran itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan