Rabu, 18 Julai 2012

PIBG Bantah Murid Bawa Telefon Bimbit Ke Sekolah


KUALA LUMPUR: Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) tidak merestui cadangan Kementerian Pelajaran membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah atas alasan ia membawa lebih banyak keburukan terutama dari segi tumpuan para pelajar terhadap pembelajaran.

Pengerusi PIBG Nasional Prof Datuk Dr Mohamad Ali Hassan berkata para pelajar tidak sepatutnya dibenarkan membawa sebarang peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit ke sekolah kerana ini bukan sahaja boleh mengganggu tumpuan mereka terhadap pelajaran, malahan akan mewujudkan budaya tunjuk-menunjuk dalam kalangan mereka.

Beliau berkata, langkah ini juga dikhuatiri akan disalah guna termasuk membuat rakaman yang tidak sepatutnya selain mengganggu kesihatan untuk jangka masa panjang.

“Telefon bimbit tidak boleh dibenarkan pada waktu sekolah, kalau luar waktu sekolah itu terpulang kepada ibu bapa atau penjaga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Beliau mengulas keputusan Kementerian Pelajaran yang membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi termasuk telefon bimbit dan iPAd ke sekolah, mulai tahun depan.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Dr Wee Ka Siong berkata kementerian bagaimanapun akan menetapkan garis panduan yang mengawal penggunaan alat komunikasi tersebut bagi mengelakkan ia mengganggu proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas.

Mohamad Ali berkata, jika kebenaran itu diberi atas alasan keselamatan ia boleh dielakkan dengan memastikan wujud kerjasama, saling mempercayai serta komunikasi yang baik antara ibu bapa dan pihak pentadbiran sekolah.

“Jika ibu bapa kurang percaya dengan sekolah, baik bincang dengan pihak sekolah. Kalau tak percaya juga boleh tukar anak-anak mereka ke sekolah lain.

“Malah di sekolah ada disediakan telefon awam untuk anak-anak hubungi ibu bapa kalau ada kecemasan,” katanya.

Sementara itu Presiden Persatuan Ibu Bapa Untuk Pendidikan Malaysia (PAGE) Datin Noor Azimah Abdul Rahim berkata langkah membenarkan pelajar membawa peralatan komunikasi ke sekolah mempunyai kesan baik dan buruk.

Beliau berkata, dengan adanya telefon bimbit ia memudahkan ibu bapa memantau pergerakan anak-anak mereka dan pada masa sama membolehkan pelajar menghubungi keluarga jika berlaku sebarang kecemasan.

Bagaimanapun, ia mungkin mendatangkan keburukan termasuk mengganggu pembelajaran pelajar berkenaan serta pelajar yang lain.

Noor Azimah juga mencadangkan supaya pelajar hanya dibenarkan membawa telefon bimbit biasa dan bukannya telefon bimbit yang canggih.

“Jangan bawa telefon canggih kerana ia akan buat orang tertarik nak curi. Kalau kena curi kena buat pemeriksaan dan ini menyebabkan kucar-kacir serta gangguan semasa waktu pembelajaran,” katanya - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan