Jumaat, 6 Julai 2012

Mayat Wanita Dengan Kesan Luka Ditemui Di Rawang

KUALA LUMPUR — Mayat seorang wanita dengan kesan luka di beberapa bahagian badan ditemui berhampiran sebuah kilang di Jalan Rawang, Batu Arang, Rawang dekat sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abd Rahim Abdullah berkata mayat wanita tanpa identiti itu ditemui orang awam yang melalui kawasan tersebut, dalam keadaan terbaring pada pukul 3.30 petang.

"Mangsa yang merupakan warga tempatan berusia 30-an memakai t-shirt berkolar merah serta berseluar jeans, ditemui dalam keadaan seluarnya dilondehkan dan tidak berseluar dalam.

"Hasil pemeriksaan awal polis mendapati mangsa cedera di dahi, bawah bibir, hidung dan kening yang dipercayai dicederakan menggunakan alat tumpul serta terdapat kesan lebam di leher,” katanya kepada Bernama di sini semalam.

Beliau berkata mangsa dipercayai telah mati dalam tempoh 24 jam dan dibunuh di tempat lain kerana tiada kesan pergelutan di tempat kejadian serta mangsa tidak berkasut.

Katanya polis tidak menemui sebarang dokumen atau barang berharga milik mangsa, namun terdapat pemetik api, sikat dan penyepit rambut berhampiran dengan mangsa manakala seluar dalam lelaki ditemui kira-kira 100 meter dari tempat kejadian.

Abd Rahim berkata polis masih menyiasat sama ada mangsa dirogol atau sebaliknya dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk bedah siasat, katanya. — BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan