Rabu, 25 Julai 2012

Palsukan Kad Kredit Beli Diesel

Abdul Gaffar menunjukkan sebahagian kad kredit palsu yang dirampas

IPOH - Kelicikan empat lelaki yang membuat dan menggunakan kad kredit palsu untuk membeli diesel bersubsidi sebelum diseludup ke negara jiran sejak tiga bulan lalu terbongkar apabila kesemuanya ditahan di sebuah stesen minyak di Jalan Taiping di sini Ahad lalu.

Suspek-suspek berusia antara 25 hingga 42 tahun itu diberkas pada pukul 3.30 pagi ketika sedang mengisi bahan bakar itu ke dalam sebuah lori satu tan yang telah diubah suai.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Abdul Gaffar Mohamad berkata, pihaknya bergegas ke stesen minyak itu selepas dihubungi pemiliknya yang curiga dengan transaksi dilakukan oleh dua daripada empat suspek tersebut.

Katanya, pemilik stesen minyak itu sebelum ini telah dua kali tertipu dengan sindiket yang sama.

"Ketika suspek sedang mengisi minyak, dua lagi rakan mereka datang untuk membantu dengan menaiki sebuah kereta jenis Mercedes Benz. Ketika itulah kesemuanya diberkas oleh anggota peronda," kata Abdul Gaffar pada sidang akhbar di sini semalam.

Tambahnya, pemeriksaan di dalam kereta Mercedes itu menemui 193 keping kad yang telah dipalsukan termasuk kad kredit, kad kesetiaan dan kad keahlian untuk tujuan menipu.

Menurut Abdul Gaffar, hasil soal siasat, polis kemudian dibawa ke sebuah premis di Seberang Perai, Pulau Pinang. Di sana polis merampas sebuah komputer riba, telefon bimbit, mesin pengimbas dan kad sim. Premis itu disyaki dijadikan tempat untuk memalsukan pelbagai kad itu.

"Modus operandi mereka ialah mengutip resit pembayaran petrol dan diesel menerusi kad kredit yang dibuang pelanggan bagi mengesan nombor pada kad kredit.

"Selepas itu, salah seorang suspek yang mempunyai kepakaran memalsukan maklumat pada kad tersebut akan mereka kad yang serupa selain memanipulasi jalur magnetiknya untuk dipadankan dengan kad kredit mangsa ketika diimbas pada mesin," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan