Rabu, 25 Julai 2012

Peniaga Gagal Ujian Sampel Makanan Disenarai Hitam


KUCHING: Peniaga bazar Ramadan yang gagal ujian sampel makanan selama dua tahun berturut-turut boleh disenarai hitam, atau terus dikenakan tindakan mahkamah.

Timbalan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Seksyen Keselamatan dan Kualiti Makanan David Lau Chieng Loung memberitahu, lazimnya peniaga akan diberi amaran tegas terlebih dahulu jika keputusan analisis terhadap sampel didapati tercemar dari segi kimia atau mikro organisme.

“Tetapi sekiranya tabiat itu diteruskan (pada tahun seterusnya) memandangkan pengusaha hampir sama setiap tahun, maka tindakan contohnya seperti pendakwaan boleh dilakukan. Namun pemeriksaan sampel yang dijalankan setiap tahun mendapati kebersihan makanan bazar Ramadan di seluruh negeri berada pada tahap memuaskan, tidak ada pendakwaan dicatatkan dalam setahun dua ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada lawatan Jabatan Kesihatan Negeri, Majlis Perbandaran Padawan dan media ke Bazar Ramadan Kota Sentosa, dekat sini, semalam.

Lau berkata, keputusan makmal boleh diketahui dalam jangka masa seminggu untuk analisis mikro organisme manakala keputusan ujian kimia boleh diketahui seawal dua minggu.

Beliau turut menyeru peniaga bazar Ramadan untuk jangan cepat berpuas hati dengan tahap kebersihan diamalkan, malah mengambil inisiatif untuk meningkatkan usaha.

Inisiatif pemeriksaan tahap kebersihan dan pengambilan sampel makanan itu diadakan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan selepas pengusaha diberi taklimat, katanya.

Taklimat itu tambahnya, merangkumi keselamatan dan kualiti makanan, cara penyediaan, penyimpanan makanan, masa pamer dan jual termasuk mengenai kebersihan diri dan perkakas, katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Keselamatan Persekitaran MPP Francis Liu memberitahu, kualiti kebersihan makanan di kawasan pentadbiran majlis memuaskan walaupun sebilangan kecil pada tahun lepas tidak mematuhi piawaian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan