KUALA TERENGGANU - Seorang remaja lelaki dipercayai bapa kepada bayi malang yang diletakkan di dalam beg sandang selama 17 jam selepas dilahirkan, ditahan di Kampung Cherang Guling, Marang dekat sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner K. Manoharan berkata, suspek yang berusia 19 tahun itu ditahan di rumahnya pukul 4 pagi dan direman bagi membantu siasatan.
"Siasatan mendapati remaja berusia 16 tahun yang melahirkan bayi itu dan suspek bukan pasangan kekasih tetapi melakukan hubungan seks secara suka-suka sebanyak dua kali pada tahun lalu," katanya ketika dihubungi di sini semalam.
Kosmo Jumaat lalu melaporkan seorang pelajar sebuah sekolah asrama dekat sini ditahan ketika mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mengadu sakit perut.
Selepas bersalin, remaja perempuan itu kemudian menyorokkan bayinya di dalam beg sekolah sebelum diserahkan kepada rakannya yang tidak mengetahui beg itu berisi bayi.
Bedah siasat mendapati kepala bayi berkenaan lebam dan terdapat cecair di dalam paru-parunya tetapi punca sebenar kematian bayi itu masih disiasat - Kosmo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan