Selasa, 10 Julai 2012

Serangan Dinihari Lelaki Misteri

Anggota polis menjalankan siasatan

SUBANG JAYA – Ibarat filem Hollywood, seorang lelaki misteri yang menaiki sebuah kereta Toyota Camry disyaki cuba memberi amaran apabila bertindak melepaskan 10 das tembakan ke arah banglo milik Timbalan Pengerusi sebuah bank terkenal bergelar Datuk di SS19 di sini semalam.

Hujanan peluru itu berlaku pada pukul 4.50 pagi ketika mangsa, 57, bersama lima lagi ahli keluarganya termasuk isteri, dua anak dan dua tetamu sedang tidur di banglo tersebut. Turut berada di dalam kawasan rumah itu tiga pekerjanya.

Difahamkan, kejadian itu disedari empat jam kemudian apabila pembantu rumah mangsa menemui kelongsong peluru di luar rumah. Pengawal keselamatan warga Nepal pula mendakwa ada mendengar letupan ketika kejadian tetapi menyangka ia bunyi mercun.

Pemeriksaan pada kamera litar tertutup (CCTV) kemudian mendapati tembakan itu dilepaskan oleh lelaki misteri tersebut. Dua daripada tembakan itu mengenai dua kenderaan mewah jenis Toyota Alphard milik mangsa manakala satu das terkena pada tingkap banglo dua tingkat tersebut.

Kesemua penghuni bagaimanapun tidak cedera - Kosmo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan