Selasa, 10 Julai 2012

Warga Emas Cedera Selepas Diragut

KUCHING: Seorang warga emas mengalami bengkak di kepala dan cedera di tangan setelah beg tangannya diragut di Jalan Resak, di Batu Kawa, petang kelmarin.

Mangsa yang berumur 70 tahun itu, berjalan kaki seorang diri untuk kembali ke rumah apabila didatangi sebuah motosikal yang tidak dapat dikenal pasti jenis dan nombor pendaftarannya.

Dalam insiden jam 3 petang itu, pembonceng motosikal tersebut meragut beg tangannya sehingga menyebabkan mangsa terjatuh dan terus melarikan diri.

Beg tangannya mengandungi seutas gelang emas, buku akaun bank, dua unit telefon bimbit, pasport, kad pengenalan dan wang tunai sebanyak RM50.

Dalam kejadian berasingan, seorang wanita berusia 48 tahun dari Debak mengalami kerugian sebanyak RM200 apabila beg tangannya diragut di Jalan Song Thian Cheok, pagi semalam.

Kejadian jam 7.10 pagi itu turut mengakibatkan mangsa terseliuh di bahagian bahu akibat cuba menyelamatkan beg tangannya. Antara barangan yang terkandung di dalam beg tersebut adalah buku akaun bank.

Mangsa yang gagal mengenal pasti nombor pendaftaran motosikal tersebut sekadar memberitahu bahawa motosikal, topi keledar dan baju peragut serba hitam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan