Sabtu, 7 Julai 2012

Wanita Dipukul Dan Digigit Suami Mengamuk

Keadaan dalam rumah mangsa yang berselerak setelah dirosakkan oleh suaminya yang mengamuk

MIRI: Seorang wanita lebam di beberapa bahagian badan dipercayai dipukul dan digigit suaminya yang mengamuk dalam kejadian di sebuah rumah di Desa Murni, Permyjaya di sini tengah malam kelmarin.

Berikutan itu, mangsa yang berusia lingkungan 32 tahun telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini.

Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa yang turut mengusahakan salun di rumah milik adiknya itu telah keluar makan bersama ibu saudaranya di kawasan pusat bandar di sini.

Sehingga tengah malam, mangsa masih belum pulang menyebabkan suaminya mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap dan akuarium ikan hingga mencederakan tangannya sendiri selain merosakkan harta benda dalam rumah.

Mangsa yang tiba di rumah sekitar jam 12.30 tengah malam mendapati suaminya masih mengamuk di hadapan rumah dan sejurus itu suaminya telah menarik mangsa masuk ke dalam rumah.

Kejadian itu turut disaksikan ibu saudara mangsa yang menghantarnya pulang ke rumah dan kemudian memaklumkan ibu mangsa tentang kejadian itu.

Bimbang akan keselamatan anaknya, ibu mangsa telah bertindak membuat laporan polis pagi semalam sebelum menjenguk mangsa di rumahnya jam 9.30 pagi, namun mangsa tiada di rumah kerana melarikan diri ke rumah jiran.

Sebaik ternampak kesan darah di lantai luar dan menyangka anaknya masih di dalam rumah itu, ibu mangsa kemudian menghubungi polis dan ketika polis tiba, mendapati suami mangsa masih nyenyak tidur di dalam bilik.

Menurut mangsa yang sempat ditemui di tempat kejadian, setelah dipukul di dahi dan digigit di pipi dan belakang, suaminya telah bertindak mengurungnya dalam bilik dan dia hanya berjaya keluar rumah awal pagi semalam untuk mendapat perlindungan di rumah jiran ketika lelaki terbabit sedang nyenyak tidur.

Difahamkan, ini bukan kejadian pertama suaminya mendera mangsa sejak mereka mendirikan rumah tangga enam tahun lalu dan selama tempoh itu sebanyak enam laporan polis telah dibuat mangsa namun tiada tindakan dibuat pihak polis - Utusan Borneo


Tiada ulasan:

Catat Ulasan