Jumaat, 28 September 2012

1,000 Jemaah Haji Wanita Nigeria Terkandas Di Jeddah

Sekumpulan jemaah haji wanita dibenarkan memasuki Mekah

ABUJA - Kerajaan Arab Saudi telah menolak kemasukan lebih 1,000 jemaah haji wanita dari negara ini kerana tidak ditemani oleh lelaki atau mahram masing-masing, kata beberapa pegawai Nigeria kelmarin.

Semua wanita itu mulai tiba di lapangan terbang antarabangsa Jeddah, Arab Saudi Ahad lalu jelas satu laporan yang dikumpul oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan Nigeria yang mengawal selia jemaah haji Nigeria ke Mekah.

"Apabila ditanya oleh pegawai Suruhanjaya Haji Kebangsaan, mereka diberitahu bahawa jemaah haji itu ditahan kerana tiada mahram," kata laporan yang diserahkan kepada wakil jawatankuasa hal ehwal luar Nigeria.

Kira-kira 171 jemaah haji wanita itu pulang ke Nigeria menerusi satu penerbangan kelmarin.

"Mereka tidak diusir, sebaliknya dihantar pulang oleh Suruhanjaya Haji Kebangsaan kerana malu dengan pihak berkuasa Arab Saudi," kata jurucakap suruhanjaya, Umar Bala kepada agensi beritaAFP.

Satu perbincangan dua hala sedang dijalankan di antara para pegawai kedua-dua negara bagi menyelesaikan isu itu, tambah beliau.

Katanya, seramai 1,000 jemaah haji wanita masih terkandas di lapangan terbang sama. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan