Rabu, 26 September 2012

Elak Ditahan, Tinggalkan Motosikal

Motosikal-motosikal yang dirampas oleh pihak berkuasa dalam Operasi Bersepadu itu

TAWAU: Beberapa penunggang motosikal di Kinabutan Kecil, Batu 5 Jalan Apas dan Felda Umas di sini nekad meninggalkan kenderaan masing-masing sebelum sempat diperiksa oleh pihak berkuasa kerana disyaki bimbang ditahan dan disoal-siasat.

Dalam insiden terbabit, Operasi Bersepadu pada Jumaat dan Sabtu lepas oleh pihak polis bersama agensi penguatkuasa lain merampas 18 motosikal dalam keadaan sempurna dan satu rangka motosikal yang telah dicerai-beraikan.

Menurut Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Ibrahim Chin, tindakan pelik penunggang-penunggang motosikal terbabit menimbulkan persoalan dan pihaknya tidak menolak kemungkinan kenderaan-kenderaan itu diperolehi dari pasaran gelap.

“Ada kemungkinan motosikal-motosikal terbabit mereka perolehi secara tidak sah, lebih-lebih lagi tiga daripada motosikal yang dirampas didapati telah dilaporkan hilang oleh pemilik-pemilik asalnya sebelum ini.

“Bagaimanapun, kita juga menyeru kepada para pemilik motosikal yang telah kita sita ini agar tampil ke IPD Tawau untuk membuat tuntutan masing-masing bersama dokumen-dokumen pembuktian yang diperlukan,” katanya di sini Isnin lepas.

Ibrahim berkata, pihak polis memandang serius terhadap trend penjualan motosikal secara tidak sah di daerah ini dan menggesa masyarakat agar tidak membeli motosikal terbabit yang ditawarkan pada harga murah ataupun dalam keadaan mencurigakan.

Tambahnya, berdasarkan kes-kes lampau motosikal-motosikal yang dijual secara tidak sah di daerah ini kebiasaannya berada di dalam keadaan sempurna, tidak lengkap dan diasing-asingkan (dalam bentuk kerangka dan alat ganti motosikal).

“Kita menyeru masyarakat agar berhati-hati semasa meninggalkan motosikal masing-masing dan jangan biarkan penjenayah mengambil kesempatan atas kelalaian ataupun ruang yang dibuka kepada mereka,” katanya.

Menyentuh perkembangan berkaitan, beliau mendedahkan pihak polis bersama agensi penguatkuasa yang lain turut menahan 39 pendatang tanpa izin dan 16 orang suspek kes penyalahgunaan dadah dalam operasi sama.

Mengulas mengenai pencapaian IPD Tawau pula, Ibrahim menegaskan bahawa pihak polis telah menyelesaikan sebanyak 37 kes daripada 56 kes kekerasan yang dilaporkan di daerah ini.

“Kita juga meminta orang ramai agar tidak mengambil tindakan yang membelakangi undang-undang dan sentiasa berhubung dengan pihak polis sekiranya wujud situasi mencurigakan ataupun mengancam keselamatan mereka,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan