MIRI: Seorang pemandu lori dan seorang pengawal keselamatan di sebuah ladang yang ditangkap kerana disyaki mencuri 28 keping kad Shell untuk pembelian diesel milik syarikat tempat mereka bekerja diperintahkan Mahkamah Majistret pagi semalam supaya direman tiga hari untuk membantu siasatan lanjut polis.
Perintah itu dikeluarkan Penolong Kanan Pendaftar Mohd Redza Azhar Rezali setelah membenarkan permohonan reman yang dikemukakan pegawai penyiasat Sarjan Abdul Kata Atara daripada Balai Polis Batu Niah.
Dalam permohonannya, Abdul Kata memberitahu bahawa pada 28 Julai lalu, seorang pekerja wanita di ladang SOP Gelasah telah membuat laporan polis di Balai Polis Batu Niah.
Dalam aduannya, pengadu mendakwa sekitar jam 7 pagi hari sama, semasa masuk ke pejabatnya di bengkel SOP Gelasah Estate yang teletak di KM141 Jalan Batu-Niah, beliau mendapati sebanyak 28 keping kad Shell milik syarikat untuk pembelian minyak diesel telah hilang dipercayai dicuri.
Pada 10 Ogos lalu, seorang penolong pengurus di ladang sama telah membuat laporan susulan kehilangan kad minyak yang dilaporkan pekerjanya itu dan mengesyaki kecurian tersebut telah dilakukan oleh seorang pemandu lori di ladang berkenaan yang didapati ada membuat pengeluaran minyak di sebuah stesen di Jalan Bakam di sini.
Bertindak atas maklumat diterima, sekitar jam 10.30 pagi, 24 September lalu di pekarangan Balai Polis Batu Niah, polis telah menahan pemandu lori terbabit kerana disyaki terlibat dalam kes ini.
Berikutan penangkapan suspek pertama telah membawa kepada penangkapan seorang lagi suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di ladang sama sekitar jam 11.50 pagi hari tersebut kerana disyaki terbabit sama dalam kes tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan