Jumaat, 28 September 2012

Bersemadi Di Gunung Tabai


Anggota penyelamat dan penduduk kampung menyertai operasi di Gunung Tabai, Bau semalam

BAU: Mendiang Lee Sze Chun yang terbunuh selepas dihempap batu di dalam terowong di Gunung Tabai di sini, terpaksa disemadikan di tempat kejadian berikutan operasi mengeluarkan mayat mangsa dihentikan semalam atas faktor keselamatan.

Ketua Polis Daerah Bau DSP Mohd Sabri Zainol berkata, keputusan tersebut terpaksa diambil ekoran keadaan di dalam terowong tersebut yang semakin merekah dan dikhuatiri runtuh jika operasi diteruskan.

“Kita telah berusaha untuk mengeluarkan mayat mangsa, namun keadaan tidak mengizinkan kerana keadaan di dalam terowong tersebut yang semakin berbahaya di mana banyak batu-batu mula merekah dan runtuh menyebabkan kita terpaksa menghentikan operasi ini atas faktor keselamatan.

“Selain itu, batu yang menghempap mayat mangsa juga sangat sukar untuk dialihkan kerana ia terlalu besar dan ruang terowong tersebut yang sempit serta keadaan mayat mangsa yang semakin tertimbus juga menjejaskan operasi kita,” jelasnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus operasi mengeluarkan mayat mangsa dihentikan sekitar jam 4 petang semalam.

Seorang daripada ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali semasa ditemui pemberita memberitahu, pihaknya pasrah dengan keputusan tersebut.

“Apa yang kami harapkan hanya tinggal harapan sahaja… namun kami percaya anggota penyelamat mempunyai sebab mengambil keputusan sedemikian,” katanya.

Sementara itu, seorang daripada penduduk tempatan yang menyertai operasi tersebut, Tapa Monya, 60, dari Kampung Bijuray turut menceritakan detik cemas semasa di dalam terowong itu.

“Kami seramai 11 orang memasuki terowong tersebut untuk mengeluarkan mayat mangsa, namun keadaan di dalam terowong yang sempit menyukarkan kami untuk bergerak.

“Tambahan pula, semakin kami cuba mengalihkan batu yang menghempap mayat mangsa, semakin banyak batu besar jatuh di dalam terowong.

“Selain itu, pada awal operasi kami boleh berdiri di dalam terowong tersebut tetapi bahagian atas terowong tersebut semakin menurun menyebabkan kami hanya mampu merangkak sahaja untuk keluar dari terowong,” katanya.

Isteri mangsa yang dikenali sebagai Ah Mei juga berada di lokasi kejadian semasa operasi dijalankan, namun gagal mengawal emosinya semasa diberitahu mengenai keputusan menghentikan operasi mengeluarkan mangsa, semalam.

Dalam pada itu, semasa operasi semalam, pihak polis menjumpai beberapa bungkusan tanah dipercayai telah dikorek dan disembunyikan tidak jauh dari tempat kejadian.

Difahamkan, mangsa yang berusia 33 tahun bersama sembilan rakannya memasuki kawasan larangan tersebut untuk mencari emas sekitar jam 11 malam Rabu lepas sebelum kejadian malang itu berlaku, dipercayai antara jam 2 pagi dan 3 pagi kelmarin.

Mangsa yang dikatakan berada agak jauh dari rakan-rakannya dipercayai gagal menyelamatkan diri apabila sebongkah batu sebesar sebuah kereta Perodua Kancil menghempapnya, sekali gus menyebabkan mangsa maut di tempat kejadian.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan