Sabtu, 29 September 2012

Lelaki Didenda Selepas Mengaku Bersalah Pukul Isteri, Kakak Ipar


SIBU: Seorang lelaki didenda RM800 oleh Mahkamah Majistret Kanowit kelmarin selepas dia mengaku bersalah memukul isteri dan kakak iparnya.

Sinin, 50, menghadapi dua pertuduhan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas dakwaan secara sukarela menyebabkan kecederaan, yang membawa hukuman maksimum satu tahun penjara, atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Sinin dituduh memukul kakak iparnya dan telah dikenakan hukuman sebanyak RM300 dan jika gagal melunaskannya akan dihukum satu bulan penjara.

Manakala bagi kesalahan memukul isterinya pula, beliau telah didenda RM500 dan sekiranya ingkar akan dihukum tiga bulan penjara. Tetuduh telah membayar denda tersebut.

Mengikut fakta kes, Sinin sedang dalam keadaan mabuk di rumahnya apabila kejadian itu berlaku.

Tertuduh dan adik-beradik itu telah bertengkar mengenai sesuatu hal berkaitan dengan keluarga yang kemudiannya membuatkan Sinin mengunakan kekerasan fizikal ke atas kedua-dua mangsa.

Di mahkamah yang sama, Ong Kung Chai, 40-an dari Kanowit telah didenda RM2,000 dan jika gagal melunaskannya akan dihukum enam bulan penjara selepas dia mengaku bersalah kerana memiliki 11 mercun dan bunga api yang berbeza jenis.

Ong telah membayar denda itu. Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1958.

Sebelumnya, tertuduh telah ditangkap melakukan kesalahan itu pada jam 1 petang di sebuah rumah kedai di Kanowit.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan