KUCHING: Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun berkuat kuasa serta-merta semalam, terhadap bekas guru sekolah rendah yang beberapa tahun lalu mencabul kehormatan tiga murid berumur dalam lingkungan 10 hingga 12 tahun.
Rayuan terakhir Mohd Yusahairee Md Yusup ditolak sebulat suara oleh tiga barisan hakim yang terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Apandi Mohamed Ali, Datuk Anantham Kasinather dan Datuk David Wong Dah Wah.
Yusahairee disabitkan ke-salahan dan dihukum penjara setahun berserta satu sebatan untuk setiap pertuduhan oleh Mahkamah Sesyen pada 16 Februari tahun lepas kerana menggunakan kekerasan untuk mencabul kehormatan murid-murid sekolah rendah di bilik rumahnya di kuarters guru SK Penghulu Imban, Batu 38, Skim Sekuan, Stapang di Dalat, antara 1 hingga 31 Mac 2004.
Dia disabitkan kesalahan dengan pertuduhan mencabul di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebatan atau mana-mana dua penalti.
Dia kemudiannya mengemukakan rayuan kepada Mahkamah Tinggi di mana pendakwaan dan hukumannya turut disahkan.
Dalam menyampaikan keputusan tersebut, Hakim Apandi yang mengetuainya memberitahu bahawa tidak ada sebab untuk mengganggu keputusan yang dapatannya adalah betul berdasarkan bukti yang disertakan.
Tertuduh merupakan guru pendidikan jasmani yang mengajar mangsa-mangsanya. Mangsa-mangsa disuruh pergi ke rumahnya secara berasingan untuk membawa sebuah beg.
Apabila mereka tiba di kuarters tertuduh, dia mencabul kehormatan dan mengancam keselamatan mangsa-mangsanya.
Kesemua mangsa hanya meluahkan sesama sendiri apa yang tertuduh lakukan kepada mereka dan hanya setahun kemudian mereka memaklumkan kepada ibu bapa mengenai jenayah tersebut. Ibu bapa kemudiannya membuat laporan polis terhadapnya.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Tetralina Ahmed Fauzi dan Mahadhir Mohd Khairudin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan