Seorang ahli keluarga membawa gadis yang tidak sedarkan diri ke tempat selamat
SIBU: Empat rumah kayu terbiar yang dibina lebih daripada setengah abad lalu dekat Lorong Belian di sini ranap dalam kejadian kebakaran pada jam 4.15 petang semalam. Tiada kecederaan dilaporkan dalam kebakaran yang telah meranapkan deretan rumah yang telah ditinggalkan sejak 2007 itu.
Akan tetapi, kebakaran mengejut itu telah menyebabkan seorang gadis pengsan berhampiran dengan tempat kejadian. Ahli keluarga gadis itu telah membawanya ke tempat yang selamat sebelum menyedarkannya.
Sejurus menerima panggilan kecemasan, Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah menghantar sepasukan anggota bomba ke tempat kejadian dan pasukan penyelamat daripada Rescue 991 turut sama membantu.
Menurut seorang jiran yang tinggal berhampiran dengan rumah itu, api kemungkinan berpunca daripada aktiviti tiga budak lelaki yang berusia lima hingga lapan tahun yang telah pergi ke rumah berkenaan untuk bermain dengan api.
Kata jiran tersebut, dia ada ternampak budak-budak itu melarikan diri dari kawasan rumah yang terbakar itu.
Katanya sebelum ini dia ada memberi amaran kepada mereka untuk tidak memasuki kawasan rumah lama tersebut tetapi nasihatnya langsung tidak diendahkan.
Petang itu, Temenggung Vincent Lau dan Ahli Parlimen Sibu Wong Ho Leng turut pergi ke tempat kejadian untuk melihat keadaan semasa kebakaran itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan