SIBU: Pasar Sentral kecoh pagi semalam selepas seorang lelaki memukul kepala seorang penjaja lelaki di situ dengan sebatang kayu di khayalak ramai.
Lelaki berusia 30 tahun tersebut dipercayai bertindak demikian selepas isterinya dipukul dengan hos air di tempat yang sama sekitar jam 9 malam kelmarin.
Insiden itu dipercayai bermula apabila si isteri, 29, yang juga penjaja di situ, menolak pelawaan penjaja lelaki tersebut untuk menidurinya.
Menurut wanita itu, dia telah mengenali penjaja lelaki itu, 40-an, sebagai rakan niaga sejak bulan puasa yang lalu.
Katanya, lelaki itu sering menghantar buah-buahan ke ruang niaganya untuk dijual kerana dia tidak mempunyai lesen untuk berniaga di situ.
Mungkin ada pertelingkahan mengenai urusan niaga di antara mereka menyebabkan lelaki itu meminta bayaran ganti rugi sebanyak RM500 walaupun dinafikan oleh wanita tersebut, sambil mendakwa penjaja itu sengaja mereka cerita untuk memburukkan namanya.
Wanita tersebut turut mendedahkan bahawa penjaja lelaki itu sering memujuknya untuk bermalam bersamanya semasa menghantarnya pulang ke rumahnya di JalanTong Sang namun setiap pelawaan lelaki tersebut ditolaknya.
“Saya hanya menganggapnya (penjaja lelaki) sebagai rakan niaga sahaja tetapi kali ini dia telah menjatuhkan maruah saya dengan menabur fitnah yang bukan-bukan terhadap saya di kalangan penjaja-penjaja lain,” kata wanita itu.
Pada jam sekitar jam 10 pagi semalam, suami wanita tersebut muncul di Pasar Sentral dan bertindak mengambil sebatang kayu lalu memukul kepala penjaja lelaki tersebut.
Keadaan menjadi kecoh apabila penjaja itu terus tumbang dan berlumuran darah di bahagian kepalanya.
Nasib baik penjaja lain berjaya menghalang suami wanita itu daripada terus mencederakan penjaja lelaki tersebut.
Orang awam kemudian menghubungi ambulans Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) untuk membawa penjaja itu ke Hospital Sibu bagi mendapatkan rawatan segera.
Wanita tersebut kemudiannya pergi ke balai polis untuk membuat laporan mengenai kes itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan