Jumaat, 28 September 2012

Bieber Sedih Kematian Avalanna Routh

Avalanna Routh dirawat di hospital Boston, Amerika Syarikat

WASHINGTON - Bintang pop remaja, Justin Bieber kelmarin berkabung selepas mendengar berita kematian pesakit kanser berusia enam tahun yang pernah menjadi isteri olok-oloknya, Avalanna Routh.

"Seorang yang mempunyai semangat tinggi dan saya kenali sudah tiada. Bersemadi dengan tenang Avalanna. Saya sayang kamu," kata Bieber di laman Twitternya.

Penyanyi berusia 18 tahun itu menulis mesej berkenaan selepas keluarga Routh mengumumkan berita kematian Avalanna di laman blog mikro Twitter.

Routh yang berasal dari Merrimac, Massachusetts menghidap penyakit ketumbuhan di bahagian otak yang digelar AT/RT semasa berusia sembilan bulan.

AT/RT merupakan gangguan otak yang jarang berlaku dan biasanya akan menyebabkan kematian penghidapnya dalam tempoh setahun.

Pada Ogos 2011, Institut Kanser Dana-Farber di Boston mengadakan majlis perkahwinan olok-olok antara dia dan Bieber.

Bieber pernah menjemput Routh yang juga peminat tegarnya ke New York untuk menyambut Hari Kekasih bersama-sama.

Hanya sekitar 30 kes baharu AT/RT disahkan di Amerika Syarikat setiap tahun. Peluang pesakit yang menghidapnya untuk terus hidup cuma sepuluh peratus. - AFP


Tiada ulasan:

Catat Ulasan