Jumaat, 28 September 2012

Penunggang Maut Setelah Motosikal Terbabas

Mayat mangsa terbaring ditutupi surat khabar

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan terbunuh setelah motosikal yang ditunggangnya terbabas berhampiran Jalan Lintas Kepayan awal pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Azuan Harun, 20, meninggal dunia serta merta di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan teruk di bahagian kepala dan badan.

Difahamkan mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari pusat bandar kira-kira jam 2 pagi terbabit yang turut menyaksikan jalan licin akibat hujan lebat semalaman.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan.

Menurut beliau, siasatan awal polis mendapati motosikal mangsa telah terbabas di bahu jalan terbabit dan meninggal dunia akibat kecederaan teruk sehingga badan mangsa terlipat dua.

“Kita difahamkan mangsa sendirian menunggang motosikal dan tiba-tiba terbabas di lokasi berkenaan.

“Kita meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai berhampiran bagi membantu siasatan,” katanya.

Jauteh menambah, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan