SIBU: Pasangan muda kaum Iban dan berasal dari rumah panjang yang terletak jauh di pedalaman dinasihatkan mendaftarkan terus perkahwinan mereka di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Penghulu Enyang Menchol berkata, ini penting bagi mempermudah proses membuat sijil berkahwin berbanding mendaftarkan perkahwinan mereka mengikut proses Majlis Adat Istiadat.
“Kalau berdaftar mengikut proses itu, terlalu banyak proses termasuk pasangan muda berkenaan perlu mendapatkan tanda tangan dan pengesahan dari Tuai Rumah (TR).
“Jadi proses itu agak memakan masa, berbanding mendaftarkan perkahwinan mereka dengan JPN,” katanya pada majlis makan malam, di sini malam kelmarin.
Beliau berkata, kebanyakan pasangan muda kaum Iban hari ini bekerja dan tiada banyak masa untuk pulang ke kampung mereka yang terletak jauh di pedalaman.
Justeru, katanya, mendaftar perkahwinan mereka dengan JPN adalah jalan terbaik agar rancangan perkahwinan dapat berjalan lancar seperti dirancangkan.
“Selain itu, pendaftaran perkahwinan JPN tidak perlu melalui banyak proses dan dapat membendung serta mencegah kelahiran anak luar nikah secara berleluasa, “ katanya.
Beliau menjelaskan wanita muda dari pasangan terbabit kadang-kadang mengandung terlebih dahulu sebelum mereka disahkan berkahwin.
“Bila pekara ini berlaku bukan sahaja memalukan pihak keluarga, tetapi juga akan mendatangkan pelbagai masalah termasuk semasa pendaftaran kelahiran,” katanya.
Justeru, Enyang berharap ketua-ketua kaum serta pengerusi JKKK yang dilantik khususnya di Sibu Jaya dapat melihat perkara itu dengan lebih serius.
“Walaupun mereka tidak didaftarkan secara sah sebagai ketua kaum atau pengerusi JKKK di Majlis Daerah Sibu, namun kita sama-sama memainkan peranan,” katanya sambil menambah rata-rata penduduk tinggal di Sibu Jaya adalah kaum Iban.
Menurut beliau, mereka (ketua kaum) turut berperanan dengan anggota penguatkuasa serta ahli Skim Rondaan Sukarela (SRM) dalam mencegah kegiatan jenayah di Sibu Jaya.
“Dalam hal berkenaan (cegah jenayah) peranan mereka amat penting, bukan sahaja menyalurkan maklumat tetapi membawa anak-anak buah mereka bersatu padu dan tidak terjebak dengan sebarang kegiatan jenayah.
“Melalui cara sedemikian, kegiatan jenayah di Sibu Jaya dapat dibendung serta dikurangkan sekali gus menjamin keselamatan para penduduk,” jelasnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan