Sabtu, 29 September 2012

Lelaki Cina Kerugian RM5,000 Selepas Nyawa Diancam


SIBU: Seorang lelaki berketurunan Cina kerugian hampir RM5,000 selepas nyawanya diancam seorang lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Lee Long.’

Lee Long atau nama sebenar-nya, Wong Leh Yin merupakan seorang ahli perniagaan terkenal pernah membuat laporan polis beberapa kali bahawa namanya telah digunakan oleh sekumpulan sindiket tipu untuk menipu wang mangsa.

Menurut laporan, lelaki yang berusia 30 tahun itu memberitahu bahawa dia mula menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan namanya sebagai ‘Lee Long’ sejak beberapa bulan lalu.

Pada mulanya, pemanggil terbabit meminta mangsa untuk membayar sejumlah RM90,000 sebagai wang perlindungan.

Apabila mangsa menyatakan bahawa dia tidak mempunyai wang sebanyak itu, dia diugut oleh pemanggil terbabit dengan ancaman yang menakutkan.

Bimbang sesuatu buruk akan menimpanya, dia mula memasuk-kan RM900 ke dalam satu akaun bank seperti yang diarahkan oleh pemanggil.

Sehingga kini, mangsa telah memasukkan wang hampir RM5,000 dan dia kehabisan wang simpanan.

Menurut mangsa, pemanggil itu memberitahunya bahawa nyawanya berada di ‘hujung tanduk’ pada bila-bila masa jika dia tidak membuat bayaran lagi.

Mangsa akhirnya mengambil keputusan untuk membuat laporan polis mengenai kejadian itu minggu lalu.

Tidak kurang daripada 10 kes tipu yang membabitkan nama Lee Long di negeri ini telah dilaporkan sehingga kini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan