Rabu, 26 September 2012

Pencari Sarang Burung Lemas Dihanyut Ombak Deras

Mangsa ditemui lemas berhampiran pesisir pantai Kampung Lok Simpul

KUDAT: Seorang lelaki tempatan ditemui mati lemas ketika usaha mencari sarang burung di perairan berdekatan Pulau Bambangan dekat sini.

Mangsa dikenali sebagai Mohd Shah Ismail, 38, berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan itu ditemui kira-kira jam 2.30 petang di pesisir pantai Kampung Lok Simpul, Pulau Bambangan oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke jeti pasukan polis marin di Kudat untuk tindakan lanjut.

Pegawai Unit Perhubungan Awam Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Awil Kamsari berkata mangsa bersama empat lagi rakannya telah pergi berenang memasuki gua tepi laut berhampiran Kampung Batu Sireh, Pulau Bambangan namun dihanyutkan ombak deras.

Menurut beliau, Bot Maritim Penyelamat 10 telah diarahkan untuk melakukan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) pada jam 12.34 tengahari selepas menerima laporan terbabit.

“Tiga daripada rakan mangsa terselamat daripada hanyut sementara seorang lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas dalam kejadian berkenaan.

“Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Ismail Abdullah, 38, turut berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan,” katanya.

Tambah beliau, operasi terpaksa ditangguh disebabkan faktor cuaca dan akan disambung semula pada hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan