Isnin, 24 September 2012

Anak Luar Nikah Serius

Fatimah menyampaikan sijil tamat bengkel kepada Azman

SIBU: Bilangan sijil kela­hiran tanpa nama bapa yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak amat mem­bimbangkan, sekali gus meningkatkan jumlah kes anak luar nikah di negeri ini.Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata bilangan tersebut dicatatkan mencecah angka 2,322 dari Januari hingga Mei tahun ini.

Fatimah berkata statistik yang diperolehi daripada JPN Negeri Sarawak amat mem­bimbangkan kerana sekarang baharu sahaja penghujung September.

“Kita ada tiga bulan lagi untuk mengakhiri tahun ini dan kita mempunyai bayi yang dilahirkan tanpa bapa sudah menjangkau angka ribuan.

“Pada tahun lalu (2011), negeri ini mencatatkan anak tanpa bapa seramai 5,097 orang meskipun tahun ini dilihat agak sedikit menurun namun masih membimbang­kan,” katanya ketika menut­up rasmi Bengkel Training Of Trainers (TOT) Hubungan Sihat Dalam Kalangan Re­maja Siri 2/2012 bagi Zon Sibu di sebuah hotel terkemuka, di sini semalam.

Hadir sama Menteri Muda Kebajikan Robert Lawson Chuat, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) Noriah Ahmad, Presiden Guru dan Bimbingan Kaunseling Ba­hagian Sibu Azman Sandiran serta tetamu lain.

Seramai 190 peserta terdiri daripada pelajar, guru, ketua masyarakat, pertubuhan bukan kerajaan menyertai bengkel dua hari anjuran JKMNS itu.

Fatimah menarik perhatian bahawa kes anak luar nikah ini secara keseluruhannya masih membimbangkan dan gejala itu banyak menimpa golongan remaja yang masih di bawah umur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat itu berkata berdasarkan kepada laporan rasmi JPN terdapat lebih 257,000 sijil kelahiran didaftarkan tanpa catatan nama bapa sejak 2000 hingga Julai 2008.

Ini bermakna, secara purata sebanyak 2,500 kes anak luar nikah direkodkan pada setiap bulan atau 83.3 kes pada setiap hari dan jika diunjurkan lagi, satu kes pendaftaran anak luar nikah berlaku dalam setiap 17 minit 17 saat.

“Begitu dahsyat gejala ini berlaku meskipun merupakan rekod pada empat tahun lalu namun masih berlaku hingga ke hari ini. Golongan remaja yang banyak menyumbang kepada gejala ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu bahawa Sarawak merupakan negeri keempat tertinggi dalam kes pembuangan bayi dari 2005 hingga 2010 selepas Selangor (105 kes), Johor (83 kes) dan Sabah (65 kes).

Justeru jelasnya, kadar kelahiran bayi oleh remaja di negeri ini meningkat daripada 7.16 peratus pada 2009 kepada 8.88 peratus pada 2010.

“Berdasarkan statistik lapo­ran akhbar nasional, setiap hospital di negara ini akan menerima sekurang-kurang­nya satu kes remaja mengand­ung pada setiap hari. Ini turut meningkatkan peratusan kehamilan di kalangan remaja kita,” katanya.

Menurutnya, perlakuan seksual remaja banyak dipen­garuhi oleh kadar dan kualiti masa lapang yang dimiliki oleh individu dan analisis mendapati kadar bilangan kes jenayah di kalangan remaja meningkat pada musim cuti sekolah.

“Tanpa pengawasan daripa­da ibu bapa dan waktu lapang yang panjang, remaja mudah mengisi ruang masa mereka dengan aktiviti-aktiviti sosial berbentuk hiburan terutama temu janji (dating).

“Peningkatan kadar remaja yang terlibat dengan seks tu­rut menyumbang kepada pen­ingkatan kehamilan pada usia remaja yang merupakan gejala sosial paling sukar ditangani pada dekad ini,” ujarnya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan