Selasa, 25 September 2012

Penumpang Monorel Terkandas Di Sydney

Kren digunakan untuk menyelamatkan penumpang yang terkandas

SYDNEY - Pekerja-pekerja penyelamat menggunakan beberapa buah kren untuk menyelamatkan para penumpang yang menaiki monorel di Pasar Paddy di sini ekoran gangguan bekalan elektrik, lapor media Australia semalam.

Menurut agensi berita Xinhua yang memetik laporan Perbadanan Penyiaran Australia, kira-kira 80 orang diselamatkan pada waktu tengah hari.

Para penumpang kemudian menjalani pemeriksaan kesihatan ekoran masalah kehilangan air dalam badan dan trauma. Namun, tiada laporan tentang kecederaan serius setakat ini.

Beberapa penumpang yang bimbang mula panik selepas mereka terpaksa menunggu semasa suhu panas selepas sistem penyaman udara tidak berfungsi.

Mengulas insiden tersebut, syarikat pembekal tenaga di sini, Ausgrid memberitahu, bekalan elektrik berjaya dipulihkan selepas kabel elektrik bawah tanah selesai dibaiki. - Bernama


Tiada ulasan:

Catat Ulasan