BINTULU: Kedai menjual alat ganti kereta di Jalan Bintulu-Sibu di sini musnah dalam kebakaran tengah hari Jumaat lalu, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Timbalan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Zon Bintulu Thomas Umpang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.10 pagi. Dua jentera bomba bersama 28 anggota tiba di lokasi kejadian 12 minit kemudian.
“Api marak dan merebak begitu pantas menyebabkan struktur binaan konkrit bangunan kedai itu musnah 90 peratus,” katanya yang mengetuai operasi tersebut.
Jelasnya, tidak ada satu pun barang dapat diselamatkan melainkan dokumen penting yang ditempatkan di bangunan pejabat kedai terbabit yang turut terbakar sebahagiannya.
Ujarnya, api dapat dikawal pada jam 11.58 pagi dan pihaknya mengambil masa hampir dua jam 30 minit untuk memadamkan api sepenuhnya.
Begitupun katanya, usaha memadam kebakaran mengalami kesulitan dan mengambil masa yang agak lama berikutan keadaan struktur bangunan yang telah roboh akibat kebakaran tersebut.
“Siasatan awal kami mendapati kebakaran itu mungkin berpunca daripada litar pintas.Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan berlaku,” tambahnya.
Kejadian itu turut menyebabkan pengusaha stesen minyak berdekatan menghentikan sementara operasi perniagaannya sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengelak api merebak ke stesen terbabit.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan