Selasa, 25 September 2012

Jangan Campur Isu Agama Lain

Membawa tanglung bersama masyarakat Cina pada majlis sambutan perayaan Kuih Bulan

PORT DICKSON - Mana-mana pihak diminta supaya tidak cuba mencampuri isu agama lain jika tidak mengetahui atau memahami betul-betul perkara tersebut bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bahagian Telok Kemang, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad berkata, jika kita tidak mengetahui sesuatu isu, seelok-eloknya berdiam diri kerana sebarang kenyataan yang tidak betul mengenai isu agama boleh membawa kepada ketegangan antara rakyat.

"Kenyataan pemimpin DAP Perak yang mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem menghina agama ini dan Nabi Muhammad SAW amat mendukacitakan dan sangat provokatif.

"Sepatutnya pemimpin itu berkongsi perasaan yang ditanggung umat Islam, dengan kenyataan pemimpin DAP itu maka jelas dia bukan seorang yang layak bergelar pemimpin," katanya semasa berucap pada perayaan Kuih Bulan Port Dickson di sini semalam.

Baru-baru ini, Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dikecam hebat apabila mengeluarkan kenyataan dalam akaun Twitter miliknya menggambarkan penentangan umat Islam terhadap filem Innocence of Muslims yang menghina Nabi Muhammad itu sebagai membuang masa dan tenaga.

Menurut Koo Ham, komen itu dibuatnya selepas dia menonton laporan berita di stesen televisyen luar negara mengenai bantahan keras terhadap penyiaran filem tersebut di seluruh dunia sehingga mengakibatkan kehilangan jiwa dan kerosakan harta benda.

Berikutan kecaman pelbagai pihak, Koo Ham akhirnya menarik balik kenyataan tersebut dan meminta maaf.

Mengulas lanjut, Mohd. Isa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Pinang berkata, seorang pemimpin harus berfikiran luas dengan meneliti buruk dan baik sebelum membuat sebarang kenyataan terutamanya membabitkan agama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan