Rabu, 26 September 2012

Dua Suspek Kes Curi Kereta Dan Motosikal Ditahan

Kereta Proton Saga yang menggunakan nombor plat palsu 

SIBU: Dua sekawan dipercayai terlibat dengan beberapa kes curi kereta dan motosikal di bandar ini berjaya ditahan polis cawangan D4 di bilik sewa mereka di sebuah bangunan di Jalan Pedada dekat sini petang kelmarin.

Mereka ditahan ekoran polis D4 terserempak dengan sebuah kereta Proton Saga lama yang kelihatan mencurigakan diparkir di bawah bangunan tempat mereka menyewa bilik.

Dalam kejadian antara jam 2 hingga 3.00 petang itu, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Curi Kenderaan (D4) yang diketuai oleh ASP Yeoh Chun Shyan telah menjumpai sebuah kereta Proton Saga lama yang mempunyai nombor plat pendaftaran 6DAXXXXQ diparkir berhampiran sebuah asrama di situ.

Susulan itu pasukan polis D4 telah mengadakan serbuan di salah sebuah bilik dan memberkas dua suspek lelaki berketurunan Cina.

Siasatan awal polis menjumpai dua motosikal termasuk sebuah skuter yang dipercayai digunakan oleh mereka untuk menjalankan aktiviti jenayah di sekitar bandar ini.

Polis juga percaya dua suspek tersebut adalah sebahagian daripada ahli kumpulan pencuri kenderaan yang sedang bergiat aktif.

Kedua-dua suspek direman pada petang semalam (Selasa) dan kes kini dalam siasatan polis.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan