SIBU: Seorang bayi perempuan seberat 2.16 kilogram yang diletakkan di dalam sebuah kotak yang dikerumuni semut ditemui oleh seorang nenek dan sepasang suami isteri di tepi jalan di Batu 11, Jalan Oya di sini, pagi semalam.
Terdahulu, nenek terbabit yang tinggal di kawasan itu terdengar tangisan bayi dari arah semak berdekatan lalu meminta bantuan seorang askar dan isterinya yang menaiki motosikal dan kebetulan melalui tempat berkenaan.
“Saya terdengar bunyi ‘baby’ menangis, jadi saya meminta mereka berdua melihat (ke kawasan semak),” kata nenek terbabit ketika meminta bantuan askar tersebut yang dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja sekitar jam 8 pagi semalam.
Ketika memeriksa kotak tersebut, mereka menemui bayi perempuan yang masih bertali pusat dibaluti dengan kain menangis dipercayai kerana kesakitan digigit semut.
Pasangan terbabit kemudiannya bergegas menghantar bayi malang itu ke Hospital Sibu. Setibanya di Unit Kecemasan dan Trauma pada jam 9.15 pagi, bayi tersebut diberi rawatan segera sebelum diletakkan di dalam inkubator dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan sihat.
Bayi tersebut dipercayai baharu dilahirkan antara waktu malam kelmarin atau awal pagi semalam memandangkan ia masih bertali pusat.
Para pegawai dari Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dihubungi untuk mengendalikan kes itu.
Justeru, sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai kes tersebut diminta menghubungi Inspektor Bariahati Kasan menerusi talian 084336144 atau balai polis berdekatan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan