Khamis, 27 September 2012

Nahas Helikopter Masih Disiasat

Hanya juruterbang, Rico Steiger seorang warga Jerman terselamat 

KUCHING: Punca nahas helikopter di muara Sungai Teriso berdekatan Sebuyau Julai lalu kini masih dalam siasatan, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Kong Cho Ha.

Menurut beliau pihaknya hanya menerima laporan awal mengenai siasatan sementara siasatan akhir masih dijalankan.

“Buat masa ini, maklumat siasatan yang diterima menyatakan cuaca buruk kemungkinan menjadi punca nahas pesawat Eurocopter EC120.

“Antara aspek yang disiasat termasuk asal helikopter, pemilik pesawat selain hala tuju penerbangan dan punca sebenar menyebabkan nahas,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Menteri Pengangkutan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) di sini, semalam.

Menurut Kong, laporan awal mengenai helikopter milik sebuah syarikat berpangkalan di negeri ini, mendapati ia tidak didaftarkan di Malaysia.

“Banyak pesawat yang dimiliki rakyat Malaysia didaftarkan di negara lain namun beroperasi di negara ini, tetapi ini memang kita benarkan,” tegas beliau.

Katanya salah satu penyebab pendaftaran sedemikian berlaku adalah disebabkan pembiayaan kewangan yang lebih senang daripada bank luar negara berbanding bank tempatan.

Berhubung peruntukan jaket keselamatan di dalam helikopter atau pesawat, Kong menjelaskan adalah menjadi kewajipan kepada helikopter untuk menyediakan jaket keselamatan sekiranya laluan penerbangan mereka merentasi sungai.

Dalam kejadian nahas pada 20 Julai lalu, juruterbangnya Rico Steiger, 35, seorang warga Jerman terselamat sementara jurutera Peter Ato Mayo, 53, arkitek Henry Loh, 42 dan seorang juruukur Siti Khuzaimah Anuar, 27, mati dalam kejadian itu.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan