Selasa, 25 September 2012

Remaja Maut Selepas Motosikalnya Langgar Pokok

LIMBANG: Orang ramai dikejutkan dengan penemuan mayat seorang remaja Cina yang terbaring di tepi jalan berhampiran Dewan Suarah Limbang di sini pagi kelmarin.

Jurucakap polis memberitahu mangsa yang masih lagi bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Limbang (SMKL) dipercayai terlibat dalam kemalangan selepas motosikal yang ditunggangnya hilang kawalan dan melanggar pokok di tepi jalan.

Beliau memberitahu, mangsa Lau Tze Chiang yang merupakan anak bongsu dalam keluarga maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian muka dan dada.

“Mangsa yang ditemui terbaring di tepi jalan dihantar ke hospital oleh orang ramai dan disahkan sudah meninggal dunia,” katanya.

Siasatan awal polis mendapati Lau yang melalui selekoh tajam di kawasan tersebut maut apabila motosikalnya hilang kawalan sebelum melanggar pokok.

Mangsa akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Gereja Methodist hari ini.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan