Jumaat, 28 September 2012

Pembunuhan Edwin Terus Dikutuk


MIRI: Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata kematian Edwin Singa yang dibunuh di Lawas Jumaat lepas, merupakan satu tragedi yang dikutuk dan dianggap kejam oleh pelbagai pihak.

Jelasnya, kes pembunuhan berkenaan meninggalkan kesan yang amat mendalam kepada keluarga serta seluruh masyarakat kerana perbuatan tersebut kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Saya mengkategorikan kes ini sebagai pembunuhan tragis dan terkutuk yang tidak diterima oleh masyarakat Lawas khususnya.

“Oleh itu, saya telah menghubungi pihak berkuasa Lawas bagi menyiasat secara terperinci dan keadilan perlu ditegakkan.

“Selama ini kita hidup dalam suasana aman dan harmoni dan kejadian yang berlaku tersebut amat me-nyedihkan.

“Saya berharap semua pihak bertenang dan tidak menimbulkan sebarang tindakan yang boleh menegangkan lagi keadaan,” jelasnya sambil memberitahu beliau ketika kejadian berada di Korea Selatan bagi menghadiri Persidangan Air Antarabangsa.

Awang Tengah turut menyeru orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang khabar angin atau spekulasi sehingga menjadikan ia sebagai isu perkauman atau agama, kerana kes berkenaan telah menjadi kes jenayah yang sedang disiasat oleh pihak polis.

Sehubungan itu, beliau turut berterima kasih dan kagum dengan kerjasama, keprihatinan serta peranan yang diberikan oleh seluruh masyarakat dalam bersama menentang kes jenayah tersebut agar tidak berlaku lagi.

Selasa lalu, sekumpulan ahli keluarga mangsa dan masyarakat Lun Bawang telah mengadakan demonstrasi aman sebelum meneruskan perjalanan mereka ke Balai Polis Lawas untuk meminta keadilan bagi menyiasat kematian Edwin Singa dan mengambil tindakan terhadap jenayah yang berlaku di Lawas.

Mereka menjelaskan ia tiada kaitan dengan bangsa atau agama tetapi bantahan terhadap keadaan jenayah yang berlaku di daerah tersebut.

Namun sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab telah menaikkan kemarahan masyarakat dengan menyebarkan di laman sosial Facebook, sistem pesanan ringkas (SMS) dan teknologi lain dengan menggembar-gemburkan kes terbabit adalah pertembungan kaum dan Lawas kini berada di bawah perintah berkurung.

Hal berkenaan telah dinafikan oleh pihak polis yang mengecam ia sebagai fitnah dan tidak benar.


Coretan :- Semoga pihak polis dapat menyelesaikan kes bunuh Edwin secepat mungkin. Miri.Net turut bersimpati diatas apa yang terjadi. Harap pembunuh2 kejam yang terlibat akan menerima hukuman yang setimpal...


Tiada ulasan:

Catat Ulasan