Anggota penguatkuasa dan bomba sedang menggangkat mayat mangsa
KOTA KINABALU: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang selepas terjatuh di laut pada Ahad lepas telah ditemui mati lemas di perairan Pulau Sapi dalam satu kejadian pagi kelmarin.
Mangsa dikenali sebagia Jais Kulas, 56, dari Tanjung Aru Lama ditemui jam 9.44 pagi oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) ketika operasi mencari dilaksanakan di lokasi berkenaan.
Pengarah Penguatkuasa APMM, Komander Raziee Keding berkata mangsa difahamkan hilang dan tidak pulang ke rumah oleh ahli keluarganya.
Katanya, berdasarkan laporan yang diterima, keluarga mangsa hanya menemui bot dimiliki dengan enjin masih hidup namun demikian mangsa gagal ditemui.
“Kita menemui mayat mangsa berhampiran perairan Pulau Sapi lalu membawanya ke jeti polis marin di sini. Mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk proses kenal pasti,” katanya.
Dalam pada itu, Raziee menasihatkan orang ramai untuk mengutamakan tahap keselamatan ketika berada di laut terutamanya pada musim cuaca buruk ini.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta penduduk setempat Tanjung Aru yang telah membantu APMM ketika melaksanakan operasi berkenaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan