Gambar Hiasan
MIRI: Seorang suri rumah kerugian lebih RM6,000 setelah diragut dua lelaki yang menaiki motosikal ketika sedang melintas jalan di lampu isyarat berhampiran Tamu Muhibbah di sini petang semalam.
Mangsa yang berusia lingkungan 30-an bernasib baik kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dalam insiden itu.
Menurut sumber, sebelum kejadian, mangsa yang berjalan seorang diri baru sahaja mengeluarkan wang tunai berjumlah lebih RM6,000 daripada salah sebuah bank di kawasan Pusat Komersil Centre Point di sini.
Setelah itu, dia kemudian berjalan kaki untuk pergi ke Tamu Muhibbah di sini dan semasa melintas di lampu isyarat yang ketika itu menunjukkan warna hijau untuk pejalan kaki, tiba-tiba datang sebuah motosikal yang memecut laju dengan pemboncengnya terus meragut beg sandang mangsa.
Selepas meragut, penjenayah terbabit sempat berhenti seketika tidak jauh dari tempat kejadian untuk menyelongkar beg sandang mangsa bagi mencari wang di dalamnya sebelum melemparkan beg tersebut ke tepi jalan.
Menurut mangsa, penunggang dan pembonceng motosikal itu memakai topi keledar berpenutup penuh menyebabkan dia tidak dapat mengecam muka kedua-duanya selain motosikal tidak mempunyai plat pendaftaran.
Berikutan itu, mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Pusat Miri di sini semalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan