Selasa, 25 September 2012

Polis Tahan 5 Warga Vietnam Berpakaian Seksi


KUALA LUMPUR - Polis menahan lima wanita warga Vietnam yang dipercayai terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dengan berpakaian seksi dalam serbuan di sebuah premis hiburan di Setia Walk Taman Equine Serdang malam tadi.

Serbuan disertai Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat D7 Ibu pejabat Polis Daerah Serdang serta Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), dengan diketuai Inspektor Roslin Mohd Isa.

Roslin berkata dalam serbuan kira-kira 10 malam itu, polis turut menahan seorang penjaga warga tempatan berusia 27 tahun dan dua pelanggan warga China dalam lingkungan umur 30-an.

"Kesemua wanita tersebut berumur antara 19 dan 25 tahun. Dua daripada mereka mempunyai pasport manakala tiga yang lain tidak ada pasport,” katanya kepada pemberita selepas serbuan itu.

Beliau berkata siasatan mendapati premis yang baru setahun beroperasi itu tidak mempunyai lesen perniagaan dan telah empat kali diserbu.

"Kita tengok modus operandi mereka, wanita tersebut akan teman berkaraoke.

Pelanggan akan mengambil pakej semurah RM150 hingga RM300,” katanya sambil menambah premis itu dibuka dari 8 malam hingga 5 pagi.

Roslin juga berkata meskipun tiada sebarang aktiviti pelacuran di premis itu, polis percaya wanita terbabit boleh dilanggan untuk tujuan tersebut di hotel bajet berhampiran.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen Siasat 39(b) Peraturan Imigresen iaitu menggaji warga asing yang tidak memiliki pas sah, dan Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63 kerana mengambil pekerja tanpa permit.

Sementara itu, Penolong Pengarah Penguatkuasa MPSJ Mazrul Zahar Mohd berkata pihaknya merampas perkakas hiburan seperti speaker, televisyen serta peralatan karaoke bernilai lebih RM7,000 dan premis tersebut turut disita.

"Kita menyita premis tersebut di bawah Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat-Tempat Hiburan Negeri Selangor 1995 Pindaan 2001 kerana mengadakan aktiviti hiburan tanpa lesen di mana jika disabitkan, boleh didenda sehingga RM25,000,” katanya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan