MUKAH: Sebanyak 13 daripada 23 pintu Rumah Aji di Kilometer 17 Jalan Balingan-Mukah musnah dijilat api dalam kebakaran pada tengah malam kelmarin.
Seorang mangsa Ating Emboi, 30, berkata penghuni rumah tidak dapat menyelamatkan harta benda kerana masing-masing menyelamatkan diri daripada api yang begitu marak.
“Seorang pun tidak berani untuk menghampiri kawasan kebakaran tersebut kerana semua orang sudah tidak tahu untuk berbuat apa dan bergegas menelefon pihak bomba,” katanya.
Kebakaran tersebut dikatatan berpunca daripada bara api selepas memanggang ayam yang masih menyala dan kemudian ditiup angin sehingga merebak ke kawasan lain.
Seorang lagi mangsa kebakaran Milin Gruna, 48, berkata kebakaran itu berpunca dari rumahnya di mana dia sebelum kejadian itu ada memanggang ayam.
“Mula-mula saya panggang seekor ayam, selepas itu saya periksa balik api yang digunakan untuk memanggang ayam tersebut bagi memastikan api tersebut sudah tidak menyala lagi dan saya lihat ia sudah tinggal bara.
“Kemungkinan besar bara api yang saya tinggalkan tersebut ditiup angin, lebih-lebih lagi di bahagian bawah rumah tempat kami tinggal banyak daun kering serta ranting kayu. Mungkin bara api tersebut diterbang angin ke bahagian bawah rumah,” jelasnya.
Sementara itu, ketua rumah panjang tersebut telah membuat laporan di Balai Polis Mukah pada jam 9.33 pagi semalam, bagaimanapun kes tersebut dirujuk ke Balai Polis Cawangan Balingan.
Menurut Ketua Polis Cawa-ngan Balingan Sarjan Kamaruddin Sanap tiada kemalangan jiwa berlaku dalam kebakaran tersebut.
“Menurut laporan yang diberi, 13 pintu daripada 23 pintu rumah tersebut telah musnah, pihak bomba ber- gegas ke tempat kejadian sekitar jam 1 pagi dan bomba dapat mengawal keadaan sekitar jam 3.30 pagi dengan sebuah jentera bomba,” katanya.
Beliau menambah, anggaran kerugian dalam kebakaran tersebut masih belum dapat ditaksir dan kes masih dalam siasatan.
Selain itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat turut menghulurkan bantuan kepada mangsa kebakaran tersebut, antaranya bantuan dari segi kewangan, makanan, peralatan dapur, pakaian harian, pakaian sekolah, alat tulis, bahan binaan dan bantuan pemulihan perniagaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan