Rabu, 26 September 2012

36 Komputer Judi Dirampas, Tujuh Ditahan

Komputer yang telah dirampas dari dua premis perjudian tersebut

KOTA SAMARAHAN: Sebanyak 36 komputer dirampas dan tujuh individu ditahan untuk membantu siasatan dalam satu serbuan ke atas dua premis perjudian atas talian, di sini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Abdul Rahman Ahmad berkata serbuan tersebut yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Samarahan adalah hasil risikan dan maklumat awam yang membolehkan serbuan dijalankan pada 20 September (Khamis) lepas.

Menurutnya, dalam serbuan tersebut 36 komputer dirampas dengan nilai rampasan dianggarkan mencecah RM72,000.

“Pada 20 September lepas, sepasukan anggota kami telah menjalankan serbuan ke atas dua premis perjudian atas talian yang berselindung di sebalik pembukaan kafe siber.

“Hasil serbuan tersebut, kami telah merampas sebanyak 36 komputer dan menahan tujuh individu termasuk pemilik kedua-dua premis perjudian tersebut untuk membantu siasatan polis,”katanya. Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di IPD Kota Samarahan semalam.

Selain itu, menurutnya sebanyak 19 premis perjudian atas talian telah diserbu oleh pihaknya sejak awal tahun dengan merampas 191 komputer dan menahan seramai 50 individu untuk siasatan lanjut.

“Kami sentiasa menjalankan siasatan kerana kami tidak mahu dianggap ‘tidur’ oleh masyarakat, cuma agak sukar untuk kami mengambil tindakan kerana ia beroperasi secara atas talian dan agak sukar untuk dikesan.

“Disebabkan itu, kami sentiasa menggunakan khidmat Pakar Perjudian Polis iaitu kontinjen kami sendiri dalam setiap operasi untuk mengesan kesalahan-kesalahan ini,”katanya.

Tambah beliau, kesemua individu yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 4(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM10,000 dan lebih RM100,000 dan penjara jika disabitkan kesalahan.

Selain itu, kes tersebut turut disiasat di bawah Seksyen 5(1) Ordinan Hiburan 2000 yang turut memperuntukkan hukuman denda dan penjara jika disabit kesalahan.

Hadir sama dalam sidang media tersebut ialah Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (KBSJD) IPD Kota Samarahan ASP Irwan Saimi dan Inspektor Risikan/Operasi Inspektor Peter Jumat.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan