Rabu, 26 September 2012

Warga Emas Ditemui Mati Dalam Bilik Hotel

Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengangkat mayat mangsa

KOTA KINABALU: Kakitangan sebuah hotel bajet Kampung Air di sini terkejut apabila seorang lelaki tempatan ditemui mati terbaring kaku di dalam bilik penginapannya dalam satu kejadian awal pagi kelmarin.

Mangsa dikenali sebagai Tsen Nyuk Shinc, 59, ditemui oleh jiran sebelah bilik yang kebetulan ke tandas penginapan berkenaan kira-kira jam 4 pagi.

Difahamkan warga emas itu telah menginap di hotel bajet itu lebih 10 tahun dan turut dipercayai menghidap sakit jantung serta menerima rawatan sejak 2006. Ketika ditemui, terdapat kesan luka kecil di bahagian kepala mangsa yang dipercayai terhantuk.

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Jauteh Dikun ketika dihubungi kelmarin mengesahkan kejadian itu. Menurut beliau, mangsa telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk tindakan lanjut.

“Kita mengklasifikasikan kejadian ini sebagai kes mati mengejut dan tiada sebarang unsur jenayah berlaku. Bagaimanapun, polis meminta kepada orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian ini untuk tampil ke balai terdekat bagi membantu siasatan,” katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan