Gambar Hiasan
TOKYO - Polis Jepun semalam menangkap seorang lelaki yang menyamar sebagai seorang doktor untuk mendapatkan wang, kata polis dan pihak media.
Pihak berkuasa berkata, lelaki berkenaan, Miyabi Kuroki, ditahan setelah dia memeriksa kesihatan 2,300 orang.
Kuroki, 43, sebelum ini membaca buku-buku perubatan selama beberapa jam agar orang ramai tidak mengesyaki penipuannya.
Agensi berita tempatan, Jiji Press melaporkan Kuroki tidak memasuki mana-mana sekolah perubatan dan menyamar sebagai seorang doktor selepas menemui identiti pengamal perubatan bertauliah di internet.
Dia dihantar oleh sebuah agensi pekerjaan tempatan ke sebuah hospital di sini untuk melakukan temu bual kesihatan, memeriksa keputusan mesin ujian jantung dan memberi penerangan mengenai keputusan ujian perubatan kepada lebih 2,300 orang.
Penipuan Kuroki terbongkar apabila sebuah sekolah perubatan tempat dia dikatakan pernah mengajar sangsi dengan kredibilitinya dan menghubungi hospital berkenaan.
Polis di sini memberitahu semalam bahawa mereka telah menangkap Kuroki kerana mengesyakinya memalsukan lesen pengamal perubatan pada tahun 2009 dan menerima gaji 2.62 juta yen (RM104,414) setahun dengan bekerja separuh masa sebagai seorang doktor di sebuah hospital di sini pada tahun 2010 dan 2011.
Suspek dilaporkan mengaku melakukan kesalahan tersebut dengan alasan: "Saya perlukan wang untuk membayar nafkah anak saya dan sara hidup saya."
Dalam perkembangan berkaitan, pihak hospital tempat dia bekerja telah memohon maaf berhubung insiden itu.
Pihak hospital itu meminta semua pesakit yang pernah diperiksanya datang semula untuk menjalani pemeriksaan kesihatan. - AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan