Sebuah rumah yang musnah masih belum dibaiki di Pantai Union, New Jersey
NEW YORK - Kekurangan bekalan petrol dan diesel semalam menjejaskan usaha-usaha pemulihan di lokasi yang dilanda taufan Sandy pada minggu lalu.
Bagaimanapun, bekalan elektrik kembali pulih di kebanyakan kawasan Manhattan kelmarin selepas banjir melanda kawasan perumahan.
"Manhattan tidak lagi kelihatan seperti bandar hantu," kata seorang jurucakap syarikat elektrik Con Edison, Bob McGee.
Para kakitangan syarikat itu berusaha untuk memulihkan bekalan di sekolah yang dijangka dibuka semula pada hari ini.
Menurut Gabenor New York, Andrew Cuomo, kira-kira 40 peratus penduduk tidak akan mendapat bekalan elektrik selama seminggu lagi.
Penduduk menunggu untuk memperoleh bekalan petrol percuma di Brooklyn, New York
Ketiadaan bekalan elektrik itu akan menyebabkan penduduk tidak dapat menggunakan alat pemanas ketika cuaca sejuk melanda.
Menurut Jabatan Tenaga Amerika Syarikat (AS), kira-kira 550,000 penduduk tidak mendapat bekalan elektrik di Pulau Long.
Sementara itu, polis di New Jersey meningkatkan angka kematian kepada 22 orang sekali gus menjadikan jumlah korban taufan tersebut di AS ialah 109 orang.
Para pegawai di sini turut mengumumkan bahawa beberapa buah trak tentera akan membawa 38 liter minyak untuk diberikan kepada para pemandu secara percuma.
Taufan itu melanda kawasan Pantai Timur AS sehingga hampir menenggelamkan bandar raya ini pada Isnin lalu. - Agensi
Tiada ulasan:
Catat Ulasan