Nama Ariel Peterpan atau Nazriel Irham sudah lama meledak di Indonesia sejak dia menembusi pasaran muzik republik tersebut menerusi album Taman Langit pada tahun 2003. Berbekal wajah tampan, vokal tenang serta kreativitinya menghasilkan karya bermutu, Ariel sering menjadi tumpuan.
Kecemerlangan dalam lapangan hiburan turut mengheret penyanyi berusia 31 tahun itu dalam satu 'gaung' berbeza sehingga menjerat dirinya sendiri. Dia yang sering dikaitkan dengan banyak wanita, telah menggemparkan Indonesia apabila sebuah siri video lucah yang membabitkan dirinya bersama kekasihnya pada waktu itu, Luna Maya dan hos Cut Tari tersebar di internet sekitar tahun 2010.
Penyebaran video lucah tersebut telah membuat Ariel terperangkap. Dia ditangkap, lalu didakwa atas pertuduhan mengedar video lucah selama tiga tahun setengah oleh Mahkamah Daerah Bandùng pada 31 Januari tahun lalu.
Perlakuan baiknya selama dua tahun di penjara bagaimanapun berbaloi apabila beliau dibebaskan bersyarat pada bulan mulia, Ramadan, tepatnya pada hari ketiga seluruh umat Islam berbuka puasa. Dia juga perlu membayar denda sebanyak Rupiah 250 juta (RM84,000).
Disambut oleh ratusan peminatnya, Ariel yang menerima kawalan ketat daripada pihak polis melahirkan perasaan bersyukur kerana dibebaskan.
Malah sebaik dibebaskan, Ariel menegur para peminatnya di akaun Twitter miliknya dengan ucapan, “Hello”, sebelum mengucapkan terima kasih kepada semua doa yang telah dikirim oleh penyokongnya.
Sementara itu, sidang akhbar pertama Ariel bersama media Indonesia sebaik dibebaskan, berlangsung hangat.
Upacara ‘membuang sial’ seperti yang disebut seorang wartawan tempatan pada Ariel pada sidang akhbar semalam selepas dia dibebaskan pada sebelah pagi, ditempelak oleh penyanyi itu.
Menurut vokalis tersebut yang dibebaskan dari penjara Kebon Waru, tidak pernah terlintas di fikirannya untuk mengadakan ritual ‘membuang sial’ seperti amalan segelintir pihak.
Kepada Ariel, merehatkan fikiran dengan berada jauh daripada anggota masyarakat untuk satu tempoh waktu sudah memadai buatnya.
“Saya ada cara lain untuk dilakukan andai menyebut soal buang sial seperti yang kamu (wartawan) sebutkan. Tidak ada istilah buang sial itu,” tegas Ariel.
Ariel berkata demikian pada sidang akhbar pertama kali buatnya selepas mula ditahan polis pada 26 Jun 2010 kerana disyaki terlibat dalam kes pengedaran video porno.
Masih mesra dan tampan seperti dahulu, kemunculan Ariel pada sidang akhbar itu menarik perhatian puluhan wartawan dan jurugambar yang penuh sesak.
Penyanyi kelahiran Bandung itu menjelaskan, sebaik dibebaskan, beliau mahu menenangkan fikiran. Beban di fikiran serta tekanan hidup sebagai banduan bukan sesuatu yang mudah untuk dibuang dari kotak ingatan, akui Ariel tanpa berselindung.
Justeru, besar harapan yang diletakkan penyanyi itu kepada wartawan dan peminat-peminatnya agar memberikan beliau ruang untuk bersendirian pada masa ini.
“Saya mahu berehat dan menenangkan fikiran. Saya mahu tenang-tenang dahulu. Kemana saya pergi jangan ditanya. Mohon juga jangan dicari saya di rumah orang tua saya,” kata Ariel penuh mengharap.
Pembebasan itu juga disambut Ariel dengan rasa syukur yang tidak terhingga. Kata bapa tunggal kepada seorang cahaya mata itu, pembebasan itu merupakan hikmah yang amat besar buatnya selepas melalui fasa yang menyulitkan sebagai banduan selama dua tahun.
Penyanyi itu bagaimanapun enggan menjelaskan panjang lebar hikmah yang diperoleh kerana enggan tersalah cakap.
“Apa yang dapat saya simpulkan mengenai pembebasan ini ialah sesuatu yang tidak disukai belum tentu tidak bagus buat kamu.
“Dalam kesulitan ini (hidup dalam tahanan) saya menemui banyak hal yang positif dalam hidup,” kata Ariel lagi.
Ariel turut melahirkan perasaan tidak sabarnya untuk kembali aktif berkarya bersama kumpulannya, Peterpan.
Selepas dikaitkan dalam skandal penerbitan video lucah dengan Luna Maya dan Cut Tari, nama Ariel menjadi mangsa nista dan cacian masyarakat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan