SIBU: Seorang lelaki pekerja luar pantai membuat laporan polis kelmarin setelah mendapati isterinya bermain kayu tiga dengan lelaki lain semasa bekerja di Afrika.
Menurut laporan, lelaki tersebut, yang enggan dikenali sangat kecewa apabila mendapati isterinya menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain semasa ketiadaannya.
Paling menyayat hatinya, anak sulungnya yang berumur 10 tahun turut menceritakan kepadanya bahawa ibunya sering berfoya-foya dengan orang lain.
Anak sulungnya juga ada mengadu kepada ayahnya bahawa dia sering dipukul oleh ibunya kerana membocorkan rahsia.
Ketika pulang bercuti selama sebulan setengah baru-baru ini dia disambut dengan berita yang menggemparkan apabila mendapati anak sulungnya dan seorang lagi anak yang masih kecil tidak berada di rumah.
Apabila dimaklumkan bahawa kedua-dua anaknya telah dibawa oleh isterinya pulang ke rumah panjang, dia terus mengikuti mereka.
Namun sebelum pengadu sempat melafaz cerai, isterinya terlebih dahulu berbuat demikian dan bertindak enggan menyerahkan hak penjagaan anak-anak kepadanya.
Lebih perit lagi, isterinya mengugut mengancam nyawa suaminya jika dia (suami) cuba mengambil anak-anak daripadanya.
Sementara itu dalam kes yang berasingan seorang pekerja kontraktor pembinaan rumah di Jalan Apollo dekat sini dijumpai mati oleh rakan sekerjanya pada jam 6 pagi semalam.
Mangsa dikenali sebagai Jatar Sobik, 23, ditemui oleh rakan sekerjanya tidak memberi tindak balas ketika cuba membangunnya pagi itu.
Rakan mangsa dikatakan bertindak menghubungi ambulans yang tiba di rumah kongsi pekerja tidak lama kemudiannya. Ketika diperiksa paramedik, mangsa telah disahkan meninggal dunia.
Mayat mangsa telah dibawa oleh kenderaan polis ke bilik mayat Hospital Sibu pada jam 10 pagi semalam - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan