MIRI: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan hampir sejam akibat tersepit di tempat duduk penumpang setelah lori yang dipandu suaminya terbabas dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Miri-Bypass di sini lewat petang kelmarin.
Mangsa yang berjaya dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dan penyelamat dari Balai Bomba Lopeng di sini kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan.
Menurut sumber, sebelum kejadian yang berlaku sekitar jam 5.30 petang itu, mangsa, 28, sedang menaiki lori yang dipandu suaminya berusia 41 tahun dengan membawa muatan pasir dalam perjalanan dari Kuala Baram menuju ke Batu Niah.
Setiba di satu selekoh di Jalan Miri-Bypass, lori yang dipandu suami mangsa dipercayai hilang kawalan hingga bergesel dengan sebuah kereta Proton Saga yang datang dari arah bertentangan sebelum terbabas ke bahu jalan dan terjunam ke parit.
Akibat kejadian itu, mangsa telah tersepit di bahagian tempat duduk penumpang. Manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara pemandu Proton Saga, seorang wanita berusia 41 tahun cedera di kepala, manakala ibunya, 62, patah tangan dalam kemalangan itu.
Difahamkan, semasa kejadian, kedua-dua wanita itu baharu sahaja pulang dari Hospital Miri dan dalam perjalanan pulang ke rumah mereka yang terletak di Tudan. Kedua-dua mangsa turut dikejarkan ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Sementara itu, polis trafik akan menjalankan siasatan lanjut untuk mengetahui punca sebenar kejadian - Utusan Borneo
Tiada ulasan:
Catat Ulasan