Jumaat, 21 September 2012

10 Gajah Liar Ancam Penduduk

Ramli dan Omar menunjukkan pokok pisang musnah akibat dimakan gajah liar

BALING – Lebih 40 penduduk di Kampung Rambong Padang, Batu Tujuh, Jalan Pengkalan Hulu di sini terpaksa ‘bercuti’ daripada menoreh getah sejak seminggu lalu kerana bimbang kemunculan sekumpulan gajah liar di kawasan kebun getah mereka.

Dianggarkan 10 ekor gajah liar berada di kawasan itu dan merosakkan hasil tanaman milik penduduk termasuk pisang, kelapa dan pokok getah muda pada waktu malam.

Penduduk mendakwa pada waktu-waktu tertentu gajah liar tersebut berada kira-kira 50 meter sahaja dari rumah mereka.

Seorang penduduk, Ramli Awang Kechik, 39, berkata, dia tidak menoreh sejak seminggu lalu selepas menemui tapak kaki gajah di kawasan kebun getahnya.

“Saya takut untuk pergi menoreh getah kerana bimbang mungkin gajah itu masih berada di sekitar kawasan kebun getah,” katanya.

Kata Ramli, meskipun hilang mata pencarian sejak seminggu lalu, namun dia lebih pentingkan keselamatan diri kerana bimbang diserang gajah tersebut.

“Rata-rata penoreh getah di sini amat takut jika terserempak dengan gajah liar ketika menoreh,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Omar Md. Rejab, 60, berkata, masalah itu tidak sepatutnya dibiarkan berlarutan dan beliau meminta Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) segera bertindak menghalau binatang liar itu masuk ke dalam Hutan Simpan Ulu Muda.

Katanya, gajah biasanya masuk ke kawasan kampung itu antara pukul 8.30 hingga 11 malam sebelum memusnahkan hasil tanaman penduduk.

Bukan setakat itu, katanya, seekor lembu peliharaannya hilang sejak empat hari lalu dipercayai lari kerana terkejut selepas terserempak dengan sekumpulan gajah pada waktu petang.

Difahamkan gajah liar itu tinggal di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dan pernah keluar ke kawasan Lenggong dan Kuak, Pengkalan Hulu beberapa tahun lalu.

Abdul Latif Md. Nor, 55, pula berkata, penduduk di situ akhir-akhir ini kerap mendengar bunyi gajah menjerit berhampiran rumah mereka.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan