Sabtu, 8 September 2012

153 Botol Arak Dan 87 Karton Rokok Dirampas


MIRI: Sebanyak 153 botol arak dan 87 karton rokok pelbagai jenama berjaya dirampas oleh sepasukan polis dalam dua serbuan di dua premis berasingan di sini Rabu lalu.

Kesemua barang yang dirampas dari dua premis masing-masingnya terletak di Desa Indah, Permyjaya dan Pujut di sini dipercayai barangan seludup tanpa cukai.

Menurut sumber, serbuan polis yang dilakukan bermula jam 4 petang itu adalah hasil maklumat yang diterima daripada orang awam.

Ketua Polis Daerah Miri ACP Mun Kock Keong ketika dihubungi mengesahkan kes tersebut namun enggan mendedahkan nilai cukai barangan berkenaan.

Sementara dalam kes berasingan, empat lelaki termasuk dua juvana telah diberkas polis kerana disyaki terlibat dalam kes rompakan berkumpulan ke atas dua pelajar sebuah sekolah menengah di Senadin.

Tangkapan ke atas kesemua suspek telah dibuat sekitar jam 4 petang kelmarin di kawasan Batu Satu, Jalan Kuala Baram di sini.

Menurut sumber, dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 1 petang kelmarin, empat suspek terbabit telah memeras ugut wang tunai RM100 daripada kedua-dua mangsa.

Bagaimanapun, setelah mendapati kedua-dua mangsa tidak mempunyai wang, mereka kemudian mengarahkan dua pelajar terbabit menyerahkan telefon bimbit masing-masing kepada mereka.

Mun ketika dihubungi turut mengesahkan ada menerima laporan tentang kejadian itu dan memberitahu keempat-empat suspek terbabit merupakan bekas pelajar di sekolah yang sama.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan