Sabtu, 15 September 2012

8 Samseng Myanmar Diberkas

KUALA LUMPUR - Lapan samseng warga Myanmar ditahan selepas cuba menyerang anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) yang melakukan pemeriksaan di sebuah premis di Taman Kinrara, Puchong dekat sini semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang ACP Abd Razak Elias berkata kejadian berlaku 9.15 malam ketika 17 Jawatankuasa Teknikal Perlesenan MPSJ itu melakukan pemeriksaan di sebuah premis tanpa lesen yang menjual VCD dan merampas 2,850 keping VCD.

"Ketika pemeriksaan dilakukan, sebuah kereta jenis Rexton dinaiki lapan lelaki Myanmar itu datang secara tiba-tiba sebelum kesemua mereka mengeluarkan enam jenis senjata antaranya parang, besi, pisau dan sebuah pengunci stereng.

"Mereka mengacukan senjata tersebut ke arah penguat kuasa yang memakai uniform itu. Menyedari diri mereka diancam, pihak polis terus dihubungi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Jabatan Siasatan Jenayah IPD Serdang dekat sini hari ini.

Abd Razak berkata polis menyiasat kesemua lelaki berumur 20 hingga 30 tahun yang memiliki pasport itu mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah dan Seksyen 6 kerana membawa senjata berbahaya. - BERNAMA


Tiada ulasan:

Catat Ulasan