Sabtu, 15 September 2012

Bantah Hina Rasulullah Memuncak

Umat Islam di negara ini turut mengadakan demonstrasi aman di kedutaan AS 

Di ibu negara, puluhan penyokong Sekretariat Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) mengadakan demonstrasi aman di depan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak dan bantahan sama juga diadakan di kebanyakan bandar utama seluruh negara. 

Penyokong PEMBELA diketuai Pengerusinya, Aminuddin Yahya sebelum itu berarak dari Masjid Bangunan Tabung Haji selepas Solat Jumaat, seterusnya menyerahkan memorandum bantahan kepada wakil Kedutaan AS kira-kira jam 2.30 petang, antara lain mendesak AS mengambil tindakan segera terhadap pengarah filem berkenaan, Sam Bacille.

Rabu lalu, Duta AS ke Libya, Christopher Stevens bersama tiga pegawai keselamatannya terbunuh selepas pejabat konsul negara itu di Benghazi, Libya diserang roket sebagai protes berhubung filem itu yang didakwa menghina Nabi Muhammad. Kedutaan AS di Kaherah, Mesir dan Sanaa, Yaman turut diserang. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohan Singh Tara Singh, mengesahkan tiada kejadian tidak diingini berlaku sepanjang demonstrasi itu.

Di Kuantan, kira-kira 1,500 umat Islam mewakili pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkumpul selepas selesai solat Jumaat dan berdemonstrasi di pekarangan Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1, sambil membawa sepanduk mengecam tindakan pengarah dan penerbit filem itu. 

Di Georgetown, lebih 1,000 umat Islam mengadakan demonstrasi selepas solat Jumaat, termasuk Liga Muslim Pulau Pinang di Masjid Kapitan Keling. Perhimpunan turut diadakan di Masjid Permatang Janggus, Butterworth. 

Di Ipoh, kira-kira 100 umat Islam berhimpun di depan pintu masuk Masjid Sultan Idris Shah II mengecam penerbitan filem terbabit. 

Di Sungai Petani, lebih 200 jemaah Masjid Tunku Hafsah, Padang Temusu menyuarakan bantahan selama setengah jam selepas selesai solat Jumaat. Penganjurnya, Sanusi Md Noor, berkata pihaknya mengutuk sekeras-kerasnya penayangan filem itu yang dihasilkan atas tujuan provokasi.


2 ulasan:

  1. Memang wajar dibantah dan tidak boleh didiamkan begitu sahaja.

    BalasPadam
    Balasan
    1. semoga pihak berwajib akan mengambil tindakan yang sewajarnya...

      Padam