Rabu, 12 September 2012

Derita Ibu Muda Dijangkiti Penyakit Kanser Rahang

ROHANA (kiri) menyampaikan bantuan kepada Siti Suniza 

KULIM - Sudahlah menghidap kanser rahang, seorang ibu muda, Siti Suniza Suid, 21, di sini semakin menderita kerana terpaksa membesarkan anaknya yang sakit bersendirian selepas diceraikan suaminya di Kampung Manggis, Sungai Karangan di sini baru-baru ini.

Siti Suniza yang menghidap kanser sejak tujuh bulan lalu itu kini menumpang di Perumahan Keda ibu bapanya, Suid Budin, 54, dan Normah Che Ani, 52, setelah suaminya, Mohamad Kasa, 25, menceraikannya sejak bulan lalu. Pasangan itu dikurniakan seorang anak, Nurul Sarah Anisah berusia dua tahun tiga bulan.

Menurut Normah, Siti Suniza baru sahaja menjalani pembedahan sejak empat bulan lalu di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani.

Akibatnya, dia tidak dibenarkan memakan makanan biasa dan dibenarkan meminum susu khas yang disyorkan doktor.

"Kami terpaksa beli susu berharga RM36 setin dan ia boleh digunakan dalam masa empat hari sahaja. Sedih melihat keadaan kesihatannya," katanya ketika ditemui semasa lawatan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kulim, Rohana Yusof di kediamannya di sini kelmarin.

Sementara itu, Rohana berkata, bantuan JKM akan boleh disalur kepada Siti Suniza melalui skim pesakit kronik.

"Mulai bulan ini, JKM Kulim akan mula menyalurkan bantuan bulanan RM300 kepada Siti Suniza," katanya.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan