Selasa, 18 September 2012

Dua Firma Jepun Tutup Operasi

Dua penunjuk perasaan merosakkan sebuah pasar raya Jepun di Shenzhen

BEIJING - Sekurang-kurangnya dua firma utama Jepun menggantung operasinya di China ekoran peningkatan protes anti-Jepun pada hujung minggu lalu, kata kedua-dua syarikat berkenaan semalam.

Kakitangan kilang Canon Inc. di bandar Zhoushan, dalam wilayah Guangdong di selatan China diberikan cuti dua hari bermula semalam selepas berlaku tunjuk perasaan yang berlaku di berpuluh-puluh buah bandar di negara berkenaan berhubung pembelian tiga kepulauan kecil oleh kerajaan Jepun.

Pulau-pulau berkenaan turut dituntut oleh Beijing.

"Notis yang diterima menyatakan kami diberikan dua hari cuti dan akan mula bekerja pada 19 September ini," kata seorang kakitangan kilang Canon.

Menurutnya, cuti tersebut diberikan "kerana hal ehwal dalaman" pihak pengurusan kilang tersebut.

Seorang kakitangan kilang firma Panasonic Corp. di bandar Zuhai yang terletak berdekatan Zhoushan pula memberitahu bahawa mereka diberikan cuti sehingga esok.

Pekerja Panasonic itu yang dikenali sebagai Liao menyatakan beberapa pekerja kilang berkenaan melancarkan mogok berhubung pemilikan tiga kepulauan kecil tersebut.

Penunjuk perasaan mengibarkan bendera China di depan Kedutaan Jepun di Beijing

Gugusan pulau berkenaan dikenali sebagai Diaoyu di China dan Senkaku di Jepun.

"Sekitar 12 pekerja China melancarkan mogok kerana isu kepulauan Diaoyu. Kami marah berhubung isu pembelian kepulauan berkenaan oleh kerajaan Jepun," kata Liao.

Media Jepun pula melaporkan Canon menggantung operasinya di dua kilang lain di China semalam.

Media negara berkenaan menyatakan, peruncit Jepun, Muji telah menggantung jualan di beberapa kedainya di sini manakala beberapa kedai dan restoran berkaitan Jepun di bandar raya ini turut ditutup semalam.

Serangan ke atas beberapa kereta buatan Jepun dan kedai serta restoran berkaitan Jepun turut dilaporkan di sini dan beberapa bandar raya lain pada hujung minggu lalu.

Dalam usaha mengawal bantahan tersebut, polis dan media China semalam menggesa penunjuk perasaan supaya bertindak secara rasional dan mematuhi undang-undang serta mengelak daripada menyerang hartanah dan rakyat Jepun.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan