KUCHING: Igauan ngeri seorang suri rumah berulang lagi apabila diacukan objek tajam oleh seorang suspek yang memakai topi keledar dalam kejadian samun berhampiran sebuah bank di Jalan Tunku Abdul Rahman menyebabkan dia kerugian RM4,500, semalam.
Dalam kejadian, mangsa sedang menuju ke arah bank apabila dihampiri seorang lelaki yang tiba-tiba mengacukan sebuah objek, dipercayai pisau dari arah belakang.
Menurut mangsa, suspek kemudiannya menyeluk wang yang diletakkan di bahagian poket seluar, sebelum melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Katanya insiden itu merupakan yang kedua kerana yang pertama berlaku berhampiran sebuah kolej swasta di Jalan Stampin.
“Ini bukan kejadian pertama memandangkan saya pernah mengalami kes sama di Stampin, dua tahun lepas,” katanya. Jenis dan nombor pendaftaran motosikal itu bagaimanapun tidak dapat dikenal pasti.
Mangsa yang belum sempat memasukkan wang tunai berkenaan ke dalam bank bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, seorang pelajar turut menghadapi nasib yang sama apabila menjadi mangsa ragut di hadapan sebuah pusat hiburan di Jalan Padungan, malam kelmarin.
Dalam insiden sekitar jam 8.30 malam itu, peragut yang juga memakai topi keledar itu dikatakan datang dari arah belakang sebelum merampas beg tangannya.
Mangsa yang tinggal di Tabuan Dayak itu memberitahu, tiga lelaki berhampiran yang menyaksikan kejadian itu berusaha mengejar suspek namun tidak sempat menangkapnya kerana peragut kemudiannya melarikan diri dengan menaiki motosikal.
Antara barangan yang terkandung dalam beg itu adalah dokumen peribadi, beg duit berisi wang tunai RM60 dan alat permainan Sony PSP.
Katanya ia merupakan insiden ragut kedua selepas kes pertama yang membabitkan kecederaan di tangannya setelah peragut memotong tali beg dengan pisau, di pusat komersial King Centre pada tahun lepas.
Laporan polis telah dibuat bagi kedua-dua kes dan ia sedang disiasat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan